AGENDA

Menteri: Tol percuma 29, 30 Oktober sempena Deepavali, rancang perjalanan

28 Okt 2024, 4:16 AM
Menteri: Tol percuma 29, 30 Oktober sempena Deepavali, rancang perjalanan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Pengguna lebuh raya di seluruh negara akan menikmati tol percuma pada 29 dan 30 Oktober sempena sambutan Deepavali.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini memaklumkan tol percuma bakal dilaksanakan di semua lebuh raya bermula 12.01 tengah malam esok hingga 11.59 malam Rabu.

Bagaimanapun, beliau berkata pengecualian itu hanya diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor Darul Takzim.

“Kos pemberian tol percuma yang dianggarkan RM38 juta akan ditanggung oleh kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.

“Pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan teras utama kerajaan Malaysia MADANI iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat di samping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Nanta berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang itu sebaiknya dan merancang perjalanan bagi melancarkan pergerakan trafik berdasarkan panduan yang disediakan.

“Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua syarikat konsesi lebuh raya memohon pengguna jalan raya memandu dengan berhemah, mematuhi peraturan ditetapkan.

“Berehatlah jika letih dan mengantuk. Bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita selamat, bersih dan selesa serta mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619