AGENDA

PM: Pengelasan pendapatan golongan T15 untuk penyasaran subsidi masih diteliti

27 Okt 2024, 1:14 PM
PM: Pengelasan pendapatan golongan T15 untuk penyasaran subsidi masih diteliti

IPOH, 27 OKT: Kerajaan belum memutuskan pengelasan pendapatan bagi golongan T15 (kumpulan pendapatan 15 peratus teratas) berkaitan penyasaran subsidi petrol kerana perkara itu masih diteliti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia masih dicerakinkan bagi memastikan hanya golongan kaya perlu membayar harga sebenar petrol manakala 85 peratus rakyat tetap menikmati subsidi.

“Ada yang dah marah, kata T15 mana boleh hidup dengan RM12,000? Siapa kata RM12,000... ia belum diputuskan.

"Kita nak tengok apakah T15 itu mampu bayar, kalau tak mampu jadi T10, atau T15 itu kita tetapkan lebih tinggi daripada pendapatan RM12,000 sekarang, belum lagi putus,” katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis perasmian Konvensyen Keadilan Perak di sini hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025, Perdana Menteri memaklumkan bahawa beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15 dan perkara itu mendapat perhatian pelbagai pihak yang meminta kerajaan meneliti semula pengelasan pendapatan isi rumah bagi mengelakkan keciciran pemberian bantuan serta subsidi petrol.

Anwar turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang mempertahankan subsidi bagi golongan T15 sedangkan pendapatan mereka ada mencecah RM100,000 hingga RM1 juta.

“Kenapa nak pertahankan? Kalau pendapatan rendah, kita bawa dan kita bagi pertimbangan. Kita tidak mahu bebankan rakyat, yang pentingnya 85 peratus tidak terkesan daripada kenaikan ini," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619