AGENDA

Agong, Raja Permaisuri ucap tahniah kepada Prabowo

20 Okt 2024, 6:09 AM
Agong, Raja Permaisuri ucap tahniah kepada Prabowo

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada Prabowo Subianto, yang mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia kelapan hari ini.

Ucapan itu dizahirkan menerusi poster khas yang turut memaparkan gambar Sultan Ibrahim dan Prabowo berjabat tangan, yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Prabowo, 73, mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia, di majlis yang turut disaksikan pemimpin asing dan wakil khas termasuk Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lafaz sumpah di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) juga dihadiri para tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan.

Prabowo kini memegang jawatan sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia berdasarkan populasi, susulan kemenangan Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Feb dengan memperoleh 59 peratus undi.

Beliau bersama Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, 37, berjaya menewaskan pencabar mereka, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang masing-masing meraih kira-kira 25 peratus dan 16 peratus undi.

Prabowo, bekas jeneral dan menteri pertahanan, menjadi presiden ketiga yang berlatar belakang ketenteraan selepas Soeharto dan Susilo Bambang Yudhoyono.

Beliau juga mencatat sejarah sebagai presiden tertua di Indonesia ketika dilantik, mengetepikan Presiden ketiga BJ Habibie yang dilantik pada usia 61 tahun.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619