AGENDA

SST lebih progresif mulai Mei tahun depan, makanan asas dikecualikan

18 Okt 2024, 8:51 AM
SST lebih progresif mulai Mei tahun depan, makanan asas dikecualikan

SHAH ALAM, 18 OKT: Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat awam berkuat kuasa 1 Mei 2025, kata perdana menteri.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, cukai itu tidak dikenakan untuk barangan makanan asas digunakan rakyat, kecuali barang premium yang diimport seperti salmon dan avocado.

Beliau menjelaskan skop cukai perkhidmatan pula diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.

"Sebahagian hasil akan dimanfaat untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat terbanyak selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan," katanya.

Beliau bercakap demikian dalam pembentangan belanjawan 2025 bertemakan Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan bercadang memperkenal cukai dividen dua peratus ke atas pendapatan melebihi RM100,000 yang diterima pemegang saham individu bermula taksiran 2025.

Menurutnya, ia bagi memastikan cukai pendapatan tidak hanya bergantung kepada penerima gaji, tetapi merangkumi sumbangan pemilik syarikat dan individu dengan milikan saham jutaan ringgit.

"Pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan dividen daripada simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, amanah saham Permodalan Nasional Berhad dan dividen luar negara," katanya.

Belanjawan 2025 kesinambungan Ekonomi Madani bagi menaikkan siling potensi ekonomi negara untuk tempoh jangka panjang dan lantai mutu kehidupan rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619