AGENDA

Orang ramai dinasihat peka perubahan cuaca - APM

17 Okt 2024, 7:55 AM
Orang ramai dinasihat peka perubahan cuaca - APM

PORT DICKSON, 17 OKT: Orang ramai dinasihatkan supaya lebih peka dengan perubahan cuaca yang menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan khususnya Kuala Lumpur selain banjir di beberapa negeri di seluruh negara.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed berkata peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut menyebabkan angin kencang berserta ribut dan hujan lebat terutama pada sebelah petang.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan aplikasi myCuaca bagi mengetahui keadaan di lokasi terbabit. Aplikasi ini percuma. Ia memberikan maklumat berhubung ramalan cuaca dan kaedah yang boleh diambil ketika berdepan cuaca tertentu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Persidangan Penyelamat Pantai Pertahanan Awam (CDLC) di Pantai Batu 5, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Khairus Masnan Abdul Khalid.

Menurut Aminurrahim setakat pagi tadi, seramai 4,150 mangsa daripada 1,120 keluarga berada di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata tujuh keluarga dipindahkan ke PPS berikutan tanah runtuh di Taman Melawati, Selangor.

"Buat masa ini keadaan masih belum selamat untuk mereka pulang ke rumah masing-masing. Kita jangan ambil mudah, sebaliknya perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana keadaan cuaca tidak menentu," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619