AGENDA

KPDN sita 4,000 liter diesel disimpan di bangsal dalam kebun pisang

9 Okt 2024, 2:27 PM
KPDN sita 4,000 liter diesel disimpan di bangsal dalam kebun pisang

ALOR SETAR, 9 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita sebanyak 4,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM11,800, dalam serbuan ke atas sebuah bangsal kosong di Kampung Kepala Kerbau dekat Changlun, pagi tadi.

Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan pada 11 pagi itu, dijalankan berdasarkan risikan yang dijalankan pihaknya sebelum ini.

“Ketika serbuan, tiada individu berada di bangsal tersebut yang terletak di kawasan kebun pisang dan pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah minyak diesel yang disimpan di dalam bangsal tersebut tanpa lesen atau permit yang sah.

“Pasukan serbuan kemudian bertindak menyita minyak diesel tersebut berserta tiga unit tanki, sembilan unit tong drum dan peralatan yang digunakan untuk memindah barang kawalan tersebut dengan jumlah sitaan keseluruhan sebanyak RM13,150,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Nizam berkata minyak diesel tersebut, dipercayai disimpan di lokasi terbabit bagi tujuan diseludup ke negara jiran.

“Berdasarkan risikan, lokasi tersebut baharu beroperasi kira-kira tiga minggu dan minyak diesel yang disimpan di situ, disyaki diperoleh daripada stesen-stesen minyak berhampiran,” katanya.

Muhammad Nizam berkata bagi mengekang sebarang ketirisan barangan bersubsidi, KPDN telah melaksanakan rondaan di stesen minyak berhampiran sempadan negara, penugasan di pintu keluar sempadan dan risikan.

"Kita juga menempatkan pegawai secara statik di enam buah stesen minyak berhampiran sempadan yang merekodkan jualan petrol dan diesel yang tinggi, bagi mendapatkan jumlah jualan sebenar semua stesen minyak berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Nizam berkata pihaknya turut menyerbu sebuah premis perniagaan yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar yang disyaki palsu di Pekan Simpang Kuala pada 11.30 pagi tadi.

“Pegawai serbuan kemudiannya telah menyita 99 unit bateri telefon dan 42 unit pelapik telefon yang menggunakan cap dagangan berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM2,610 dan kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619