AGENDA

Menteri: Tindakan terhadap 'Abang Bas', GISBH berlandas undang-undang

19 Sep 2024, 9:18 AM
Menteri: Tindakan terhadap 'Abang Bas', GISBH berlandas undang-undang

BINTULU, 19 SEPT: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan segala tindakan serta maklum balas kementeriannya membabitkan isu ‘Abang Bas’ dan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) adalah mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata pihaknya bersedia sekiranya ada pihak yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Kepada yang nak mengambil tindakan terhadap kami itu terpulang, sekurang-kurang rakyat tahu kita sudah mengambil tindakan untuk menjalankan tugas kita menjaga kanak-kanak di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

“Ramai yang bertanya kenapa sibuk dengan isu ‘Abang Bas’ tetapi tutup telinga soal isu GISBH…dalam hal ini GISBH adalah (di bawah) kuasa polis kerana kami bukan agensi utama yang menangkap dan menyiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dan Penyerahan Tajaan Yayasan Kebajikan Negara dan Bintulu Port Holdings Berhad di lobi Hospital Bintulu di sini hari ini.

Menteri itu berkata demikian sebagai mengulas reaksi beberapa pihak yang mempersoal kenyataan serta tindakannya yang dianggap berat sebelah mengenai isu ‘Abang Bas’ dan GISB.

“Jadi GISB berbeza daripada ‘Abang Bas’ kerana kita nak pastikan kanak-kanak (dalam hantaran media sosial TikTok) itu dilindungi dan saya tahu banyak badan bukan kerajaan nak tolong kita tapi kita cakap tunggu dulu sebab ini bukan kes biasa,” katanya.

Pada 5 Sept lepas, seorang pengguna media sosial X berkongsi tangkap layar hantaran TikTok milik seorang pemandu bas sekolah atau ‘Abang Bas’ yang merujuk seorang murid perempuan sebagai “crush” dan “kesayangan”.

Susulan itu, Nancy mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap pemandu bas berkenaan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619