AGENDA

MFL: Selangor antara empat kelab dibenar daftar 12 pemain asing

18 Sep 2024, 2:30 PM
MFL: Selangor antara empat kelab dibenar daftar 12 pemain asing

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Kelab Liga Malaysia (Liga-M) bersaing di peringkat Asia dibenarkan mendaftar maksimum 12 pemain asing berbanding 10 sebelum ini apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan tambahan kuota pemain asing bagi musim 2024-2025.

Pendaftaran 12 pemain asing dibenarkan bagi empat kelab Liga Super (JDT, Selangor FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC) yang bertanding dalam kejohanan peringkat kelab anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

MFL, badan pengelola liga tempatan itu,meluluskan Pindaan Manual Liga Malaysia 2024-2025 melibatkan pendaftaran tersebut selepas cadangan pindaan dibuat JDT diputuskan dan diterima rakan kongsi liga dan turut mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

MFL memaklumkan langkah itu sejajar dengan keputusan terbaharu AFC memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain asing tanpa had dalam pertandingan kelab anjuran badan induk itu.

"Penambahan kuota pemain asing ini memberi peluang kepada kelab-kelab Liga M yang layak ke pertandingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) dan Kejuaraan Kelab Asean bersaing dalam kejohanan peringkat antarabangsa dengan lebih kompetitif," menurut MFL dalam kenyataan.

Susulan pindaan berkenaan, komposisi pemain dalam kelab-kelab terlibat adalah seramai 34 pemain melibatkan 22 pemain tempatan dan 12 pemain asing.

Bagaimanapun, peraturan itu hanya terpakai dalam saingan peringkat Asia dan tidak dalam Liga M yang mengekalkan pendaftaran maksimum sembilan pemain asing.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619