AGENDA

PM minta tiada pihak pertikai hubungan Malaysia, negara luar

12 Sep 2024, 6:02 AM
PM minta tiada pihak pertikai hubungan Malaysia, negara luar

LAHAD DATU, 12 SEPT: Sebagai sebuah negara merdeka dan bebas, Malaysia berhak menentukan apa yang terbaik untuk negara dan rakyatnya, termasuk dalam menjalin hubungan dengan negara-negara lain di seluruh dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau meminta tidak ada pihak cuba menekan negara dalam menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara lain, sambil menegaskan bahawa Malaysia mahu berbaik dengan semua negara.

Perdana Menteri, yang baru pulang dari lawatan kerja ke Rusia baru-baru ini, juga berkata bahawa pertemuannya dengan Presiden Vladimir Putin bertujuan mengukuhkan hubungan baik antara Kuala Lumpur dan Moscow, selain mahukan Rusia meningkatkan import minyak sawit dari Malaysia.

"Saya jumpa dengan Presiden Putin dan orang tanya macam mana, Malaysia ini tak semena-mena nak berbaik dengan Rusia, apa kata Amerika, apa kata Eropah. Kita adalah negara bebas dan merdeka, kita putuskan apa terbaik untuk negara kita.

"Kita harus berbaik (dengan semua negara), tetapi jangan ada negara hendak tekan kita," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Segalanya Felda di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Anwar berkata negara-negara seperti India, China, Mesir dan Belanda merupakan antara pengimport besar minyak sawit negara ini, justeru beliau berusaha memastikan negara terlibat meningkatkan import komoditi tersebut.

"Sekarang kita minta Rusia, sebab itulah kita pergi dan berkawan dengan mereka, China setuju tambah import kelapa (minyak) sawit. Saya jumpa Perdana Menteri India (Narendra Modi) baru-baru ini...dia pun kata saudara Anwar kita akan meningkatkan import (minyak sawit) ke India," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau mengunjungi negara-negara tersebut untuk meningkatkan perdagangan dan mempromosikan sektor pelancongan di Malaysia, termasuk di Sabah, Sarawak, Langkawi, dan Pulau Pinang, yang mempunyai keindahan alam semulajadi yang diiktiraf antara terindah di dunia.

Ini juga bertujuan menarik pelancong dari Rusia, kerana setakat ini hanya sekitar 100,000 pelancong Rusia datang ke Malaysia, berbanding antara 5 hingga 10 juta pelancong melawat Turkiye setiap tahun," kata Anwar.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619