AGENDA

200 peminat sukan rai kepulangan 'wira' Paralimpik Paris di KLIA

11 Sep 2024, 1:24 AM
200 peminat sukan rai kepulangan 'wira' Paralimpik Paris di KLIA

SEPANG, 11 SEPT: Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini sekali lagi bergema dengan tepukan gemuruh peminat sukan tanah air ketika menyambut kepulangan barisan atlet para yang menggalas harapan negara di Sukan Paralimpik Paris 2024, malam tadi.

Kontinjen negara diketuai Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Paralimpik Paris Datuk Subramaniam Raman Nair serta pemenang pingat emas Cheah Like Hou dalam acara badminton dan badang Sarawak Bonnie Bunyau Gustin selamat tiba pada 8.10 malam menerusi penerbangan Oman Air.

Kira-kira 200 peminat sukan tanah air itu turut meraikan kepulangan Datuk Abdul Latif Romly yang meraih perak acara lompat jauh, atlet para lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli serta pemenang gangsa acara 100 meter (m) Eddy Bernard selain 25 atlet yang lain.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Dr K Nagulendran dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub.

Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-42 secara keseluruhan apabila meraih dua emas, dua perak dan satu gangsa pada temasya yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata jumlah pingat yang diraih pada edisi kali ini membanggakan dan tidak tersasar jauh daripada sasaran Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

“Sasaran di peringkat awal dibuat kita sambut baik. MSN sokong sasaran itu, kita akui ia tidak berjaya dicapai, yang tak dapat emas dapat perak, itu pun sudah cukup tinggi dan mereka dah cuba dapatkan emas,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619