AGENDA

Pemain tengah Selangor FC direhatkan tiga bulan akibat kecederaan kaki

28 Ogos 2024, 5:07 AM
Pemain tengah Selangor FC direhatkan tiga bulan akibat kecederaan kaki

SHAH ALAM, 28 OGOS: Pemain tengah Selangor FC Alex Agyarkwa terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya tiga bulan susulan kecederaan kaki ketika perlawanan akhir Piala FA minggu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon berkata pemain kelahiran Ghana itu perlu menjalani proses pemulihan sebelum boleh kembali beraksi.

"Mungkin dia perlu direhatkan selama tiga bulan, sebulan untuk pulih dari kecederaan dan selebihnya untuk tempoh pemulihan bagi mendapatkan kembali kecergasan sebelum boleh beraksi seperti sedia kala,” katanya ketika ditemui pemberita pada Larian Jiwa Merdeka Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) di sini hari ini.

Sebelum ini, pemain berusia 25 tahun itu dalam hantaran di Instagram berkongsi imej imbasan sinar-X pada kakinya tanpa memberikan sebarang perincian, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai tahap kecederaan pemain itu.

Dr Johan Kamal berkata selain Agyarkwa yang cedera, pemain lain diberikan rehat secukupnya bagi proses pemulihan dari segi fizikal dan mental sebelum kembali meneruskan baki perlawanan Liga Malaysia musim ini.

Pada perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil Jumaat lepas, Agyarkwa terpaksa dikeluarkan beberapa minit sebelum separuh masa tamat dan digantikan dengan penyerang Jordan Reziq Bani Hani ketika Selangor ketinggalan 0-2.

Perlawanan berakhir dengan kemenangan besar JDT, 6-1.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619