AGENDA

Kes baling botol dalam gelanggang silat SUKMA, polis buka kertas siasatan

22 Ogos 2024, 5:05 AM
Kes baling botol dalam gelanggang silat SUKMA, polis buka kertas siasatan

MIRI, 22 OGOS: Polis membuka satu kertas siasatan berkaitan insiden membaling objek dipercayai botol air ke dalam gelanggang saingan acara silat Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Bandaraya Miri, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

“Polis telah menerima satu laporan daripada pihak jawatankuasa terlibat dengan penganjuran SUKMA berkaitan kejadian itu.

“Siasatan lanjut akan dijalankan termasuk terhadap rakaman video yang tular membabitkan insiden itu semalam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya pada masa sama akan meningkatkan keanggotaan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati sejumlah anggota polis melakukan kawalan di gelanggang sukan silat yang berlangsung tanpa kehadiran penonton.

Acara Putri Kelas 45 kilogram ke bawah antara pesilat Sarawak Iman Syakilla Mahdi dan pesilat Wilayah Persekutuan Nurin Alyaa Damia Mohd Masran petang semalam dicemari insiden membaling objek dipercayai botol air ke dalam gelanggang.

Insiden itu difahamkan bersangkut paut dengan sistem pemarkahan dipapar pada skrin sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati penonton.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619