AGENDA

Tiada kompromi warga polis terlibat salah laku, langgar peraturan

14 Ogos 2024, 3:12 AM
Tiada kompromi warga polis terlibat salah laku, langgar peraturan

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap warga pasukan berkenaan yang didapati terlibat dalam salah laku dan melanggar peraturan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata terdapat peningkatan jumlah kertas siasatan berkaitan salah laku dan pelanggaran peraturan oleh warga PDRM yang dibuka hingga Jun tahun ini sahaja, berbanding sepanjang tahun lepas.

“Dari Januari hingga Jun 2024, sebanyak 1,760 kertas siasatan telah dibuka berbanding 1,665 kertas siasatan sepanjang 2023,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di sini hari ini.

Beliau berkata JIPS akan diminta mencari penyelesaian berbentuk pencegahan dalam menangani isu-isu berhubung salah laku dalam kalangan warga Sang Saka Biru itu.

“Sebagai titik tumpuan kepada pengurusan isu-isu integriti dalam PDRM, JIPS perlu lebih proaktif bagi mencari penyelesaian terbaik untuk mencegah pelanggaran etika sebelum ia menjadi barah dalam pasukan.

“Pengesanan awal salah laku membolehkan tindakan korektif dilaksanakan berbanding tindakan punitif,” katanya.

Razarudin berkata program Naziran Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) bagi tempoh Mac hingga Jun 2024 mendapati tindakan dan prosedur kerja oleh warga PDRM tidak mematuhi arahan dan ketetapan sedia ada.

Naziran suruhanjaya itu juga telah membangkitkan dua perkara utama iaitu pengurusan dan kebajikan meliputi isu pengurusan kewangan, sumber manusia, pengurusan aset, bangunan, latihan, elaun dan kemudahan, kuarters dan beban tugas.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619