AGENDA

Pakistan desak Israel bertanggungjawab atas jenayah perang di Gaza

12 Ogos 2024, 1:44 AM
Pakistan desak Israel bertanggungjawab atas jenayah perang di Gaza

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 12 OGOS: Pakistan pada Ahad menyertai gesaan antarabangsa agar Israel bertanggungjawab atas jenayahnya di Gaza, dengan kekejaman terbaharu melibatkan pembunuhan hampir 100 rakyat Palestin di sebuah sekolah pada Sabtu.

"Menyerang sekolah yang padat dengan pelarian, terutamanya ketika mereka sedang menunaikan solat Subuh adalah tindakan kejam, tidak berperikemanusiaan dan pengecut.

"Serangan sembarangan terhadap penduduk dan kemudahan awam merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan merupakan jenayah perang," kata Kementerian Luar Negeri Pakistan dalam satu kenyataan.

"Israel mesti bertanggungjawab atas genosid di Gaza. Kami menyeru masyarakat antarabangsa, terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara-negara yang menyokong Israel untuk mengambil langkah segera bagi menamatkan kekejaman dan melindungi rakyat Gaza," katanya.

Dengan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin kini memasuki hari ke-300, tragedi di Gaza mendedahkan kelemahan dunia dalam menghadapi sokongan Barat terhadap rejim Israel..

Malaysia antara negara yang menyeru tindakan antarabangsa untuk memaksa Israel berdepan keadilan atas jenayah yang dilakukannya.

Sekurang-kurangnya 93 rakyat Palestin, termasuk 11 kanak-kanak dan enam wanita maut dalam serangan ke atas Sekolah Al Taba'een di Bandar Gaza.

Serangan ke atas Al Taba'een merupakan serangan Israel ke-21 terhadap bangunan sekolah sejak 4 Julai, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619