AGENDA

Ajar anak ajaran sesat, pemuzik jalanan dihukum penjara tiga bulan

6 Ogos 2024, 8:00 AM
Ajar anak ajaran sesat, pemuzik jalanan dihukum penjara tiga bulan

SEREMBAN, 6 OGOS: Seorang pemuzik jalanan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengajar ajaran sesat Millah Abraham di sebuah rumah di Gemas, tahun lepas.

Hakim Zulfikri Yasoa membuat keputusan itu selepas Norasid Md Said, 50, mengaku mengajar ajaran berlawanan hukum syarak kepada anak lelakinya berusia 16 tahun dengan menyatakan bahawa akan ada “nabi selepas Nabi Muhammad iaitu nabi Messias”.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Felda Palong 3 antara pukul 8 malam hingga 11.59 malam dari 1 Jun hingga 30 Jun 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Abdul Wafi Ramli, Mohd Hafiz Mohd Lazim dan Nor Bazilah Abdul Basir manakala Norasid tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abdul Wafi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira perbuatan itu menjejaskan kesucian agama Islam.

"Hukuman berat perlu diberikan, modus operandi dilakukan dengan penyebaran ajaran sesat kepada ahli keluarga. Tertuduh juga mengaku bersalah mengajar ajaran salah kepada isterinya di mahkamah ini pada 11 Julai lepas," katanya.

Abdul Wafi berkata Millah Abraham merupakan isu nasional yang perlu dibanteras kerana penyebaran ajaran sesat itu turut dikesan di Johor baru-baru ini.

Norasid yang mempunyai tiga anak, memohon hukuman penjara bermula pada tarikh ditangkap serta tidak mengenakan denda tinggi kerana tiada pendapatan tetap.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berturutan daripada tarikh hukuman penjara yang lepas.

Tertuduh kini menjalani hukuman sebulan penjara dan turut didenda RM2,000 oleh mahkamah sama atas pertuduhan mengajar ajaran Millah Abraham kepada isterinya, tahun lepas.

Dalam pada itu, Norasid mengaku tidak bersalah mengajar ajaran sesat kepada seorang wanita berkaitan ayat al-Quran berlawanan dengan hukum syarak mengenai ayat surah Al-Fatihah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Harmoni pada 5 petang 24 April 2023 mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019.

Sebutan semula kes pada 14 Oktober ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619