AGENDA

Malaysia, Thailand setuju percepat bina jambatan kedua Sungai Golok-Rantau Panjang

3 Ogos 2024, 6:40 AM
Malaysia, Thailand setuju percepat bina jambatan kedua Sungai Golok-Rantau Panjang

PASIR MAS, 3 OGOS: Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepatkan pelaksanaan Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang dekat sini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata perkara itu antara yang diputuskan semasa pertemuan bersama rakan sejawatan beliau dari Thailand Srettha Thavisin, selepas bersama-sama mengadakan lawatan kerja di Kompleks CIQ (Kastam, Imigresen, Kuarantin) Sungai Golok di Narathiwat hari ini.

Selain itu, Anwar berkata kedua-dua negara juga memutuskan untuk mempercepatkan pembangunan dan pembersihan muara Sungai Golok, yang pastinya akan membantu rakyat Selatan Thailand dan di Kelantan daripada masalah banjir.

“Bila hubungan peribadi baik, hubungan antara kedua-dua kerajaan baik, manfaatnya akan sampai kepada rakyat,” katanya dalam ucapan ringkas di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata penjelasan lanjut mengenai pelbagai isu yang dibincangkan antara kedua-dua pemimpin, akan diumumkan dalam sidang media selepas ini.

Anwar memberikan jaminannya bahawa hubungan Malaysia-Thailand akan bertambah baik dengan signifikan di bawah kepimpinan Srettha.

Beliau berkata Malaysia menghargai komitmen Stretha untuk melakukan apa sahaja demi mencapai resolusi keamanan dan menumpukan kepada pembangunan ekonomi di selatan Thailand dan utara Malaysia, iaitu Kelantan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Thailand, sebelum ini kita bertemu di Sadao dan Bukit Kayu Hitam.  Alhamdulillah ada kemajuan, ini signal penting ke arah kerjasama dan mencapai perdamaian dan pembangunan,” kata beliau.

Sementara itu, Srettha dalam ucapannya berkata utara Malaysia dan selatan Thailand telah diberkati dengan sumber asli dan perhubungan baik antara kedua-dua negara.

Beliau menyatakan bahawa banyak isu dibincangkan hari ini, seperti jambatan Sungai Golok, yang akan memudahkan pembangunan ekonomi Malaysia dan Thailand.

“Kami membincangkan mengenai zon ekonomi khas yang kami akan usahakan bersama. Menteri Luar akan bertemu minggu hadapan untuk membincangkan langkah seterusnya, yang kami harap dapat dilaksanakan untuk membangunkan perniagaan makanan halal dan ladang getah.

“Ini bidang utama yang sedang kami lihat,” katanya.

 

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619