AGENDA

Kelantan larang aktiviti hiburan, muzik setiap malam Jumaat

24 Jul 2024, 3:03 PM
Kelantan larang aktiviti hiburan, muzik setiap malam Jumaat

KOTA BHARU, 24 JULAI: Kelantan tidak membenarkan sebarang bentuk aktiviti hiburan atau bunyi-bunyian muzik pada setiap malam Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata perkara itu termaktub dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

"Garis panduan ini bersesuaian dengan galakan sebagai Muslim untuk memperbanyakkan amal ibadah pada malam Jumaat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan isu ujian sistem siar raya pada satu majlis berdekatan sebuah masjid di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Mat Daud menyangkal dakwaan isu tukang cuci dan pekerja pembersihan di Kompleks Kota Darulnaim tidak dibayar gaji.

"Selama ini, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tidak ada masalah mengendalikan staf termasuk tukang cuci, bahkan gaji dibayar lebih awal daripada tarikh sepatutnya dan tidak pernah ada tunggakan,” katanya.

Beliau berkata siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang sengaja menyebarkan perkara berkenaan.

SUK Kelantan sebelum ini menafikan laporan yang mendakwa 20 tukang cuci dan pekerja pembersihan di Kompleks Kota Darulnaim tidak dibayar gaji sejak Mac lepas.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619