AGENDA

Polis, jabatan peguam, MCMC selaras siasatan kes jenayah siber

24 Jul 2024, 9:52 AM
Polis, jabatan peguam, MCMC selaras siasatan kes jenayah siber

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneliti dan mengambil tindakan segera untuk memantapkan serta menyelaras aspek siasatan dan pendakwaan kes-kes jenayah dalam talian.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu antara yang diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

“Jenayah dalam talian ini terutama scam, buli siber dan jenayah seksual kepada kanak-kanak meninggalkan kesan mendalam sama ada dari aspek kesihatan mental, dan juga masalah-masalah lain, ia antara sebab kenapa kita putuskan perkara ini," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata isu jenayah dalam talian, masalah scam dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam negara tidak boleh dibenarkan terus berlarutan dan susulan itu, MCMC telah mengeluarkan surat arahan kepada sejumlah platform media sosial untuk mendapatkan maklum balas berkaitan.

Fahmi berkata berdasarkan pemantauan MCMC, setiap platform media sosial juga mempunyai tahap pematuhan yang berbeza, dengan ada yang lebih pantas dan akur, ada yang langsung tidak akur, dan sangat lewat untuk menjawab pihak berkuasa.

Beliau berkata Instagram mempunyai kadar pematuhan 88 peratus diikuti Facebook (85 peratus), WhatsApp (79 peratus), TikTok (76 peratus), Telegram (65 peratus) dan yang paling rendah platform X dengan 25 peratus.

“Setiap platform ini pula ada masalah jenayah dalam talian atau kandungan yang boleh membahayakan keselamatan rakyat,” katanya.

Antara kandungan berbahaya dan berunsur penipuan dalam Facebook termasuk judi dalam talian dan Kecerdasan Buatan yang memudaratkan, TikTok (buli siber, akaun palsu, 3R atau ‘agama, raja dan kaum’), Telegram (3R, judi dalam talian, filem cetak rompak, pornografi kanak-kanak) manakala di X meliputi kandungan 3R, buli siber dan pengantunan seksual kanak-kanak.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619