AGENDA

Proses bawa pulang pelajar, rakyat Malaysia dari Bangladesh dijangka selesai hari ini

23 Jul 2024, 4:00 AM
Proses bawa pulang pelajar, rakyat Malaysia dari Bangladesh dijangka selesai hari ini

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Proses membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh termasuk 124 pelajar dijangka selesai hari ini.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata pengungsian (evacuation) bermula pagi tadi melibatkan penerbangan khas pesawat AirAsia dengan kapasiti 350 penumpang.

Pesawat itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada 9.20 pagi waktu Bangladesh (11.20 pagi waktu tempatan).

Beliau berkata proses itu dikendalikan Kementerian Luar bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pesawat berkenaan dijangka tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, petang ini.

"Ini antara peranan kita bahawa pelajar kita dan nasib warganegara kita di Bangladesh harus dilihat dan diberikan pemantauan sewajarnya, termasuklah 10 juruterbang yang bekerja dengan syarikat penerbangan di sana bersama keluarga mereka juga akan kita bawa pulang ke tanah air," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Amir Md Ghazali yang ingin tahu langkah diambil kementerian bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Bangladesh.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kelulusan untuk mempercepatkan rancangan membawa pulang rakyat Malaysia dari negara itu, susulan protes yang semakin memuncak di sana yang mengorbankan puluhan nyawa.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619