AGENDA

Kontinjen Selangor muktamadkan 704 atlet bawa cabaran di SUKMA 2024

18 Jul 2024, 6:37 AM
Kontinjen Selangor muktamadkan 704 atlet bawa cabaran di SUKMA 2024

SHAH ALAM, 18 JULAI: Sebanyak 704 atlet dan 213 pegawai akan mewakili kontinjen Selangor ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata kesemua atlet dan pegawai termasuk jurulatih yang disenaraikan ke temasya dwitahunan kebangsaan itu sebelum tarikh tutup pendaftaran pada 5 Julai lepas.

Beliau berkata sebagai persiapan, kesemua atlet bertanding akan diuji melalui siri perlawanan persahabatan untuk mengukur tahap kesediaan mereka bagi menghadapi saingan di Sarawak kelak.

“Kontinjen Selangor sudah memutuskan senarai 704 atlet ke SUKMA dan kesemua mereka kini memasuki fasa akhir latihan dan persediaan pasukan.

“Semua pasukan akan menjalani latihan pusat mengikut sukan masing-masing selama dua minggu sebelum berangkat ke Sarawak secara berperingkat,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Nizam berkata Selangor yang pernah muncul juara keseluruhan sebanyak sembilan kali, menyasarkan 61 pingat emas pada edisi kali ini dengan acara renang, olahraga, memanah, tenis dan badminton menjadi sandaran utama menyumbang pingat.

Bagi acara berpasukan pula, beliau berkata bola sepak lelaki, bola tampar, sepak takraw dan bola keranjang dijangka berpotensi menyumbang pingat emas buat kontinjen Selangor.

“Selangor mempunyai barisan atlet yang seimbang dan setiap sukan boleh menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat emas.

“Pada masa sama kita mahu dan yakin setiap atlet bagi sukan tumpuan mampu beraksi cemerlang dan menghadiahkan kilauan emas untuk Selangor,” katanya.

Selangor yang akan mengambil bahagian dalam 37 jenis sukan itu mendapat suntikan moral awal daripada Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan untuk bersama-sama kontinjen negeri ke temasya kali ini, sekali gus membakar semangat atlet untuk mempamerkan aksi terbaik mereka.

Beliau berkata pada 3 Ogos, kesemua atlet bertanding akan diberikan taklimat berkaitan doping serta pengurusan kecederaan disusuli dengan majlis penyerahan bendera kontinjen oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Pada SUKMA 2022, Selangor meraih 130 pingat keseluruhan terdiri daripada 31 emas, 55 perak dan 44 gangsa untuk menduduki tempat kelima keseluruhan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619