AGENDA

Dewan Rakyat lulus RUU keterangan saksi kanak-kanak dalam prosiding

11 Jul 2024, 3:00 PM
Dewan Rakyat lulus RUU keterangan saksi kanak-kanak dalam prosiding

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Rang Undang-Undang (RUU) Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 yang antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding, diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang mempengerusikan persidangan berkata RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 15 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua berkata objektif utama RUU berkenaan untuk mewujudkan peruntukan lebih baik berhubung keterangan saksi kanak-kanak.

“United Nations guidelines on justice in matters involving child victims and witnesses of crime turut menyatakan dengan jelas setiap kanak-kanak harus dianggap sebagai saksi berkebolehan dan keterangan mereka tidak boleh dianggap tidak sah atau tidak dipercayai oleh kerana usia kanak-kanak itu semata-mata,” katanya.

Justeru, beliau berkata pindaan berbangkit perlu dibuat kepada Akta Keterangan 1950, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Sumpah dan Ikrar 1949, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Angkatan Tentera 1972 untuk meniadakan peruntukan mengenai keterangan yang diberikan saksi kanak-kanak.

"Sememangnya cadangan pindaan ini menggambarkan iltizam politik kerajaan MADANI ke arah terus mereformasikan undang-undang negara kita selaras dengan arus perkembangan semasa dan standard antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 turut diluluskan persidangan.

RUU itu antaranya bertujuan memberi pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada sarjan, kuasa menyita atau melarang urusan dalam apa-apa wang dipegang atau disyaki dipegang dalam mana-mana instrument pembayaran atau akaun di institusi kewangan.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619