AGENDA

Jenazah kanak-kanak termakan keropok beracun selamat dikebumikan

11 Jul 2024, 2:11 AM
Jenazah kanak-kanak termakan keropok beracun selamat dikebumikan

BALING, 11 JULAI: Jenazah kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan dekat sini, 9.45 malam tadi.

Terdahulu, van yang membawa jenazah Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dari Hospital Pulau Pinang (HPP) tiba di pekarangan rumah datuk dan neneknya di Kampung Banggol Berangan pada jam 6 petang.

Solat jenazah diadakan di Surau Lebai Ahmad, Kampung Banggol Berangan yang dipimpin imam Masjid Al Halimi Kampung Selarong Abdul Manaf L Saad.

Kira-kira 300 orang termasuk ibu mangsa, Nurain Hasnorizal, 25, ahli keluarga dan penduduk hadir pada pengebumian itu.

Sementara itu, datuk mangsa, Hasnorizal Ab Wahab, 46, menzahirkan rasa syukur kerana urusan pengebumian cucunya itu selesai dengan lancar.

"Syukur alhamdulillah, semua dah selesai..saya reda," katanya ditemui di pekarangan tanah perkuburan itu.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Akil Syauqi dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, berada dalam keadaan kritikal selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini Ahad lalu.

Dua kanak-kanak terbabit dipercayai mengambil paket keropok yang digantung di dawai besi pagar kebun oleh seorang pemilik kebun, yang dikatakan untuk memerangkap monyet.

Kejadian itu disedari ibu mangsa pada 11 pagi hari kejadian selepas melihat kedua-dua anaknya muntah dan mulut mereka berbuih.

Kedua-dua mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Malau sebelum dihantar ke Hospital Kulim dan seterusnya HPP.

Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia pada 8.40 pagi semalam manakala adiknya dirawat di HPP dan dilaporkan masih belum sedar.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619