AGENDA

120 juta penduduk dunia hilang tempat tinggal akibat konflik, perang

13 Jun 2024, 5:58 AM
120 juta penduduk dunia hilang tempat tinggal akibat konflik, perang

GENEVA, 13 JUN: Jumlah penduduk yang hilang tempat tinggal secara paksa di seluruh dunia mencecah 120 juta pada 2023, meningkat secara mendadak untuk tahun ke-12 berturut-turut, kata Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) hari ini.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa angka baharu itu mewakili "tahap baharu yang bersejarah," menurut UNHCR dalam satu laporan yang mencerminkan konflik baharu dan berubah-ubah serta "kegagalan menyelesaikan krisis yang berlarutan."

"Angka itu menjadikan populasi penduduk kehilangan tempat tinggal global setara dengan negara ke-12 terbesar di dunia, kira-kira saiz Jepun," katanya.

Agensi itu berkata konflik di Sudan merupakan faktor utama peningkatan angka berkenaan kerana sejak April 2023, lebih 7.1 juta pemindahan secara paksa baharu direkodkan di negara itu, dengan 1.9 juta lagi di luar Sudan.

Menurut UNHCR, pada akhir 2023, 10.8 juta penduduk Sudan kehilangan tempat tinggal.

Selain itu, laporan tersebut menyatakan bahawa berjuta-juta penduduk hilang tempat tinggal tahun lalu akibat pertempuran ganas di Republik Demokratik Congo dan Myanmar.

Memetik anggaran daripada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), ia berkata sehingga 1.7 juta orang – 75 peratus daripada populasi – hilang tempat tinggal di Gaza oleh "keganasan yang dahsyat" dengan beberapa pelarian "telah melarikan diri beberapa kali."

Syria kekal sebagai "krisis kehilangan tempat tinggal terbesar di dunia," dengan 13.8 juta penduduk terpaksa berpindah di dalam dan luar negara.

Menurut data UNHCR dan UNRWA, bilangan pelarian dan individu lain yang memerlukan perlindungan antarabangsa mencecah 43.4 juta.

Majoriti pelarian ditempatkan di negara jiran, dengan 75 peratus menetap di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang secara kolektif menyumbang kurang daripada 20 peratus kepada KDNK global.

Laporan tersebut mendedahkan di seluruh dunia, lebih lima juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan sejuta pelarian kembali ke tempat asal mereka pada 2023.

- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619