AGENDA

Lapan mangsa nahas bas masih dirawat di hospital, 27 lagi dibenarkan pulang

11 Jun 2024, 9:21 AM
Lapan mangsa nahas bas masih dirawat di hospital, 27 lagi dibenarkan pulang

PEKAN, 11 JUN: Lapan mangsa kemalangan bas persiaran di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin kelmarin masih menerima rawatan di hospital di Kuantan, Segamat dan Melaka, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata lima mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Segamat, Johor (dua) dan satu di pusat perubatan swasta di Melaka, manakala 27 mangsa yang cedera sudah dibenarkan pulang.

“Lima mangsa yang dirawat di HTAA berada di wad biasa dalam keadaan stabil dengan seorang pesakit masih tidak boleh bergerak kerana mengalami patah tulang vertebra L1-L4 (manakala) seorang pesakit telah dipasang tiub dada kerana mengalami kecederaan paru-paru.

“Dua pesakit masih perlu pemantauan kerana mengalami patah pada tulang vertebra dan tulang rusuk dan seorang pesakit masih diletakkan kolar leher kerana mengalami kecederaan di tulang serviks,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini mangsa kemalangan nahas tersebut selepas melakukan lawatan kerja di Pejabat Kesihatan Daerah Pekan, Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Dalam nahas jalan raya itu, empat maut manakala 35 cedera selepas bas yang dalam perjalanan membawa rombongan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras terbabit dalam kemalangan.

Mangsa yang maut ialah Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas Hadi Asyraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60 dan guru, Dahlia Ahmad, 52.

Bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu dilaporkan terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan merempuh sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619