AGENDA

Kerajaan konsisten tolak fahaman ekstrem, melampau

18 Mei 2024, 4:22 AM
Kerajaan konsisten tolak fahaman ekstrem, melampau

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa konsisten dalam menolak sebarang fahaman ekstrem dan melampau, menurut menterinya Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam kenyataan hari ini beliau mengajak semua rakyat untuk terus memperkukuhkan keamanan negara dengan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah) serta berpegang teguh kepada nilai-nilai rahmah dan ihsan.

“​Semua pihak dipohon supaya bertenang dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia untuk membuat siasatan terperinci. Mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian jenayah ini perlulah dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

Dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pukul 2.45 pagi semalam, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, serta suspek yang berumur 21 tahun.

Seorang lagi anggota pasukan keselamatan Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera dalam kejadian berbalas tembakan, kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan berada dalam keadaan stabil.

Mohd Na’im turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq.

“Semoga seluruh ahli keluarga bersabar serta dikurnia ketabahan yang tinggi berhadapan dengan ujian berat ini,” katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619