AGENDA

Pengamal media rujuk Wisma Putra sebelum sertai misi bantuan NGO

16 Mei 2024, 8:05 AM
Pengamal media rujuk Wisma Putra sebelum sertai misi bantuan NGO

PUTRAJAYA, 16 MEI: Semua pengamal media perlu merujuk dengan Kementerian Luar bagi mendapatkan khidmat nasihat dan garis panduan sebelum menyertai misi bantuan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) terutama di negara bergolak, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 Kementerian Komunikasi (Zon Semenanjung) di sini hari ini, beliau berkata langkah itu bertujuan menjamin keselamatan petugas media ketika membuat liputan serta mengelak sebarang kejadian tidak diiingini.

“Kita (pengamal media) kena rujuk dengan Wisma Putra kerana biasanya memang ada garis panduan yang diberikan. Kementerian Komunikasi nak wartawan dan rakan media yang ingin mengikuti program seumpama ini, aspek keselamatan menjadi keutamaan dan hak mereka untuk buat pelaporan.

“Kita mahu pastikan mereka tidak menghadapi masalah untuk menjalankan tugas. Dua perkara ini menjadi keutamaan iaitu keselamatan dan kebebasan untuk membuat pelaporan di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkongsian video yang dimuat naik pempengaruh media sosial melalui akaun Instagram ‘capricedaddycap’ semalam, berhubung sekumpulan petugas kesihatan NGO yang dilaporkan terkandas di Rafah, Gaza.

Pada kapsyen video berdurasi lebih seminit itu, pempengaruh itu memohon agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fahmi dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan membantu tujuh petugas kesihatan NGO itu untuk keluar dari Rafah yang semakin berbahaya serta mengancam keselamatan mereka.

Merujuk kepada kandungan video berkenaan, Fahmi berkata pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat lanjut berhubung perkara itu namun akan berusaha mencari jalan bagi memastikan kumpulan petugas kesihatan berkenaan berada dalam keadaan selamat.

“Saya belum mendapat maklumat terperinci dari Wisma Putra. Insya-Allah kita akan rujuk dahulu apakah status dan apakah tindakan yang boleh diambil, tetapi kita ambil maklum semestinya isu keselamatan rakyat Malaysia dalam keadaan seumpama, ini memang dalam perhatian Wisma Putra,” katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619