SELANGOR

Perkenal bas elektrik, laksana Agenda Teknologi Hijau

4 Feb 2018, 3:32 AM
Perkenal bas elektrik, laksana Agenda Teknologi Hijau

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 4 FEB: Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan penggunaan Bas Elektrik menerusi perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor, tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian Industri Kecil Sederhana (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia akan direalisasikan sejajar matlamat Kerajaan Negeri untuk membudayakan penggunaan teknologi hijau dan rendah karbon.

Katanya, Kerajaan Negeri turut membincangkan penambahan beberapa laluan baru yang sering menjadi tumpuan utama.

"Kita masih dalam perbincangan berapa jumlah Bas Elektrik dan juga berapa jumlah laluan yang akan diperkenalkan.

"Tetapi kita optimis melaksanakannya kerana senario pencapaian yang dilihat sangat memberangsangkan," katanya kepada SelangorKini.

Chang Khim berkata keutamaan itu jumlah laluan akan diberikan kepada kawasan bandar kerana permintaan tinggi.

"Kita akan berikan keutamaan kepada kawasan bandar khususnya kerana keperluan ketara berbanding luar bandar.

"Matlamat utama sebelum memperkenalkan bas ini juga mahu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mahu orang ramai menggunakan perkhidmatan awam," katanya.

Selain itu, beliau berkata kemudahan Bas Smart Selangor sedia ada turut akan ditambah selain mempertingkatkan perkhidmatan melalui penggunaan aplikasi.

Untuk rekod, tahun lalu lebih 11 juta pengguna menerima manfaat itu dan sejumlah 22.1 juta 'ridership' direkodkan dalam tempoh tiga tahun pelaksanaannya.

Dalam tempoh itu juga, Kerajaan Negeri membiayai sebanyak RM43 juta dengan 100 unit bas yang beroperasi di 30 laluan membabitkan semua Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri.

Ketika pembentangan Belanjawan 2018 lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan RM11 juta sebagai sebahagian projek Smart Selangor, termasuk pelaksanaan Projek Perhentian Bas Pintar.

=EZY=

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619