AGENDA

Kerajaan hargai semua pekerja, kenaikan gaji penjawat awam tidak harus didebatkan

2 Mei 2024, 2:00 AM
Kerajaan hargai semua pekerja, kenaikan gaji penjawat awam tidak harus didebatkan

HULU SELANGOR, 2 MEI: Kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena dengan Hari Pekerja semalam tidak seharusnya dijadikan perdebatan, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan menghargai semua golongan pekerja di negara ini dan ia telah dibuktikan menerusi semakan semula kadar gaji minimum melalui Dasar Gaji Progresif dalam usaha memastikan pekerja di sektor swasta mendapat gaji lebih tinggi seiring peningkatan produktiviti.

"Penjawat awam ini merupakan petugas barisan hadapan. Kalau kita nak ekonomi negara rancak supaya boleh mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik, maka kita perlukan penjawat awam yang mempunyai produktiviti dan kecekapan yang lebih tinggi.

"Maka, dengan penghayatan dan penghargaan yang diberi kepada penjawat awam, saya yakin ia akan memberikan motivasi kepada penjawat awam terus melaksanakan tugas mereka untuk sama-sama membangunkan ekonomi negara," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Suara Anak MADANI di sini malam tadi.

Anwar semalam mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara dan kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Mengulas lanjut, Sim berkata negara telah mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion tahun lepas hasil daripada dukungan semua pihak termasuk penjawat awam.

"Dengan adanya pelaburan ini, baru ekonomi kita mengembang dan seterusnya akan ada peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik. Jadi, ada hubungan simbiosis ataupun kerjasama, ia bukan satu persaingan," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619