Kerajaan Perpaduan tekad kerja keras, teruskan legasi cemerlang mendiang

30 Apr 2024, 4:58 AM
Kerajaan Perpaduan tekad kerja keras, teruskan legasi cemerlang mendiang
Kerajaan Perpaduan tekad kerja keras, teruskan legasi cemerlang mendiang

HULU SELANGOR, 30 APRIL: Kerajaan Perpaduan Selangor bertekad meneruskan legasi cemerlang yang ditinggalkan mendiang Lee Kee Hiong di Kuala Kubu Baharu.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi dewan undangan negeri (DUN) itu berkata sebagai lokasi tumpuan pelancong, beliau akan menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan untuk menaik taraf prasarana.

"Kemudahan sedia ada akan ditambah baik memandangkan DUN Kuala Kubu Baharu adalah lokasi pelancongan yang secara tidak langsung akan memanfaatkan penduduk setempat.

"Saya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri. Saya mahu menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat di sini," kata Pang Sock Tao ditemui pada sesi bertemu masyarakat di sekitar pasar awam di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata kemenangan mendiang dalam tiga pilihan raya berturut-turut bukan tiket untuk berasa selesa.

"Untuk pilihan raya kecil di sini, kita tidak meletakkan parti  pada kedudukan selesa dan akan terus berkempen sehingga saat terakhir.

"Kita tidak rasa kerana kerusi dimenangi mendiang sebanyak tiga kali, ia tiada apa-apa...kita kena kerja keras hingga saat akhir," katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu. Menyaksikan pertandingan empat penjuru, Sock Tao dicabar Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN tersebut memiliki 40,226 pengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei, hari pengundian awal pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

[caption id="attachment_640255" align="aligncenter" width="701"] Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (tengah) beramah mesra bersama orang ramai pada walkabout di sekitar Pasar Awam pekan Kuala Kubu Bharu pada 30 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619