AGENDA

Bomba ambil masa sembilan jam padam kebakaran kilang cat di Klang

29 Apr 2024, 1:30 PM
Bomba ambil masa sembilan jam padam kebakaran kilang cat di Klang

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pasukan bomba mengambil masa lebih sembilan jam untuk memadam kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru, dekat sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata pihaknya melaksanakan operasi overhaul bermula 11.30 pagi dan kerja-kerja memastikan sisa bara kebakaran dipadamkan sepenuhnya berakhir 3 petang.

Beliau berkata 39 pegawai dan anggota bersama jentera dari 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) antaranya BBP Kapar, BBP Klang Utara dan BBP Andalas bergegas ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran selepas mendapat panggilan kecemasan pada 6.35 pagi.

“Kerja pemadaman turut melibatkan pasukan dari BBP Pelabuhan Klang, BBP Kota Raja, BBP Shah Alam, BBP Bukit Jelutong, BBP Rawang, BBP Pulau Indah, BBP Damansara dan bantuan bomba dari Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan terkini insiden kebakaran itu di sini hari ini.

Wan Md Razali berkata operasi pemadaman tiga unit kilang berserta pejabat berkeluasan lebih 10,500 meter persegi itu turut melibatkan bantuan jentera dari Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Shah Alam.

Sebuah kilang memproses cat musnah dalam kebakaran di Taman Perindustrian Meru, dekat sini pagi tadi namun tiada sebarang kehilangan jiwa atau kecederaan direkodkan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619