AGENDA

Aplikasi MYJalan terima lebih 14,000 aduan, 86 peratus diselesai segera

25 Apr 2024, 1:15 AM
Aplikasi MYJalan terima lebih 14,000 aduan, 86 peratus diselesai segera

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima sebanyak 14,031 aduan seperti jalan rosak dan berlubang menerusi aplikasi MYJalan bagi tempoh Ogos 2023 hingga 19 April lepas.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata daripada jumlah itu, 27 peratus atau 3,776 aduan melibatkan jalan seliaan Jabatan Kerja Raya, manakala 73 peratus atau 10,255 di bawah tanggungjawab kementerian lain.

“Bagaimanapun, kami mengambil tanggungjawab bukan hanya ingin menjaga jalan persekutuan, lebuh raya dan jalan negeri, kami juga menyalurkan maklumat terbabit kepada kementerian berbeza termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Bangsa Usahawan dan Kerajaan Perpaduan” terbitan Bernama TV malam ini.

Ahmad berkata pihaknya juga telah menyelesaikan 86 peratus daripada 3,766 aduan diterima menerusi aplikasi itu yang berkaitan dengan kementeriannya setakat ini, manakala selebihnya masih dalam siasatan.

“Kami ada prosedur operasi standard yang akan sentiasa diperbaik, jika ada jalan berlubang di lebuh raya dan kawasan jalan persekutuan ia hendaklah ditampal dalam masa 24 jam. Setakat ini, 100 peratus kita tampal dalam tempoh 24 jam atau kurang,” katanya.

Aplikasi MYJalan merupakan inisiatif bagi memudahkan pengguna jalan raya membuat aduan berkaitan kerosakan jalan yang dilancarkan secara rasmi pada 2 Ogos 2023.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619