AGENDA

Fama tingkat pengedaran beras tempatan 2,500 tan metrik mulai April

27 Mac 2024, 7:42 AM
Fama tingkat pengedaran beras tempatan 2,500 tan metrik mulai April

GEORGE TOWN, 27 MAC: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan meningkatkan kapasiti pengedaran beras putih tempatan (BPT) daripada 1,800 tan metrik (MT) sebulan kepada 2,500 MT bermula April bagi memenuhi keperluan rakyat di negara ini.

Ketua Pengarah Fama Abdul Rashid Bahri berkata langkah itu juga atas permintaan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) baru-baru ini agar Fama meningkatkan lagi pengedaran beras.

"Sebelum ini, Fama mengedarkan sebanyak 1,800 MT atau 180,000 kampit beras 10 kilogram (kg) setiap bulan dan bermula bulan depan, Fama akan mengedarkan sebanyak 2,500 MT atau 250,000 kampit beras yang akan dipasarkan di outlet-outlet kami seperti di Agro Bazar, Pusat Jualan Agro Madani dan Pusat Operasi Fama.

"Dari segi harga, ia masih kekal RM26 bagi setiap kampit beras 10 kg kerana harganya memang dikawal dan kita juga hadkan setiap kampit bagi setiap orang supaya pengunjung lain juga dapat membeli beras itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Agrofiesta Aidilfitri 2024 di sini hari ini, yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Koperasi, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan negeri Fahmi Zainol.

Abdul Rashid berkata Fama adalah antara agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digerakkan untuk membekalkan beras tempatan yang mencukupi bagi kegunaan penduduk setempat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan meningkatkan import bekalan bawang dari China susulan keputusan India yang terus melarang eksport sayuran terbabit.

Langkah itu katanya, bagi menampung permintaan bekalan bawang di negara ini dalam masa sama memastikan harga jualan sayuran itu terkawal.

Mengenai bekalan barangan bersempena dengan sambutan Aidilfitri, Abdul Rashid berkata Fama sentiasa memastikan semua bekalan barangan asas seperti ayam dan daging mencukupi menjelang perayaan itu.

Menurut beliau, ketika ini bekalan barangan asas adalah stabil dan harga yang ditawarkan juga berpatutan walaupun terdapat kenaikan harga bagi beberapa barangan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619