AGENDA

Kerjasama Finas, Perkeso beri manfaat kebajikan 5,000 penggiat seni

23 Mac 2024, 2:15 AM
Kerjasama Finas, Perkeso beri manfaat kebajikan 5,000 penggiat seni

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menjalin kerjasama berkaitan kebajikan penggiat seni di negara ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani April ini, ia bakal memanfaatkan hampir 5,000 penggiat industri kreatif.

“Sukacita saya ambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa dalam bulan April ini, pihak PERKESO dan juga FINAS akan menandatangani MoU untuk memastikan aspek keselamatan sosial dapat diterapkan dalam beberapa perkara melibatkan FINAS bagi menjamin keselamatan sosial para seniman dan juga mereka yang terlibat dalam aktiviti penggambaran.

“Ini adalah langkah positif yang kita harap akan dapat membantu memastikan sekiranya apa-apa berlaku kepada pelakon dan kru maka setidak-tidaknya ada beberapa perkara asas yang dapat dibantu untuk para seniman,” katanya.

Fahmi berkata pihaknya sedar mengenai aspek keselamatan sosial waktu bekerja yang sering kali tidak dibincangkan.

“Kita ambil maklum mereka yang terlibat dalam bidang kreatif seperti penggambaran, perfileman, sebagai pelakon ataupun mereka yang bekerja di sebalik tabir, sifat kerja itu adalah separuh masa sepanjang masa. Jadi ada beberapa perkara yang sedang diteliti.

“Saya harap selepas ini akan ada beberapa pengumuman baik yang boleh kita berikan terutama untuk para seniman.

"Kita sedang teliti juga untuk wartawan yang melakukan tugasan secara separuh masa yang disebut sebagai pemberita sambilan. Itu pada hari lain,” katanya pada Majlis Iftar Ramadan sempena sambutan Hari Seniman 2024 anjuran FINAS di sini hari ini.

Fahmi turut mengulas cadangan beberapa penerbit supaya artis yang mempunyai masalah sikap dan terpalit isu moral dikenakan tindakan disiplin dengan digam daripada muncul di televisyen.

Beliau berkata penerbit boleh berbuat demikian namun di pihak kerajaan, tindakan itu kurang sesuai dengan situasi semasa.

“Harapan saya kita tidak perlu sampai ke tahap perlu gam seperti yang kita pernah lihat dulu. Itu bagi saya tahun 80-an, 90-an sesuai. Saya lihat kita kena cari jalan yang lebih murni dan sesuai dengan zaman sekarang,” katanya.

Terdahulu, Fahmi menyerahkan sumbangan kepada 50 penggiat industri seni tanah air merangkumi filem, televisyen, muzik, penulisan dan seni lukis.

Sumbangan itu hasil kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam, Yayasan Felda, Yayasan Angkasawan Negara, Koperasi Al-Najah, Eco Marine Group Berhad dan AHB Holding Berhad.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619