AGENDA

Bayi umur tiga bulan meninggal dunia di rumah pengasuh

20 Mac 2024, 1:45 PM
Bayi umur tiga bulan meninggal dunia di rumah pengasuh

PUTRAJAYA, 20 MAC: Seorang bayi perempuan berumur tiga bulan enam hari meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Presint 15 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata bayi itu baru saja dihantar selama dua hari ke rumah pengasuh pada Isnin lepas.

"Pegawai perubatan Hospital Putrajaya menerima bayi terbabit pada 11.45 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri, pegawai perubatan kemudian membuat laporan pada 1.04 tengah hari.

"Difahamkan, pengasuh telah melakukan CPR (resusitasi kardiopulmonari) sejak dari rumah dan diteruskan di unit kecemasan selama 30 minit, namun pesakit tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 12.16 tengah hari," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan fizikal terhadap mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan yang wujud dan mangsa telah dirujuk ke Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya untuk bedah siasat, selain sampel organ mangsa juga diambil untuk dihantar ke makmal.

A. Asmadi berkata polis telah merakamkan percakapan ibu bapa mangsa dan pengasuh.

"Pada hari kejadian, yang merupakan hari kedua mangsa dihantar ke rumah pengasuh, bayi itu berada dalam keadaan tidak sihat kerana sudah batuk selama seminggu.

"Ibu mangsa memaklumkan bayinya dihantar ke klinik Presint 18 pada 18 Mac untuk pemeriksaan, namun keputusan X-ray menunjukkan mangsa tidak mengalami sebarang masalah," katanya.

Beliau berkata pengasuh yang menjaga empat kanak-kanak termasuk mangsa memberitahu bayi itu dihantar pada 8 pagi oleh ibunya dalam keadaan mengantuk, selesai memberikan susu kepada bayi itu pengasuh terus ke dapur dan menunaikan solat duha.

"Selepas itu, pengasuh menyedari mangsa tidak sedarkan diri ketika mengejutkannya daripada tidur dan melakukan CPR, namun sedikit darah tiba-tiba keluar dari lubang hidung kiri mangsa, lalu pengasuh segera menghubungi talian kecemasan," katanya.

A. Asmadi berkata kematian bayi itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau SDR sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619