AGENDA

Loji Sisa Kepada Tenaga di Batu Arang dalam fasa penilaian JAS

5 Mac 2024, 10:16 AM
Loji Sisa Kepada Tenaga di Batu Arang dalam fasa penilaian JAS

SHAH ALAM, 5 MAC: Loji Sisa Kepada Tenaga (WTE) di bawah projek pembangunan Taman Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SISGE) masih dalam fasa penilaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata projek itu akan melalui penilaian impak alam sekitar (EIA) dan impak sosial (SIA) yang merangkumi proses menganalisis, memantau dan mengurus.

"Penilaian ini merupakan satu representasi bahawa perancangan pembangunan loji sisa kepada tenaga di Batu Arang ini dilaksana dengan teliti mengikut piawaian antarabangsa ditetapkan pihak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam perkembangan sama, Suee Lim berkata Kerajaan Negeri bercadang untuk menjadikan SISGE sebagai Taman Tenaga Hijau bertaraf 'State Of The Art' dan tidak tertumpu kepada loji WTE sahaja.

"Selain WTE, keseluruhan pembangunan SISGE juga merangkumi pelbagai komponen pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

"Komponen itu meliputi pusat kitar semula, ladang solar, pusat pendidikan dan penyelidikan berkenaan tenaga hijau dan lestari serta taman rekreasi awam yang sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara," ujarnya.

Sebelum ini, Dato' Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 memaklumkan pembangunan empat fasa SISGE itu menelan belanja RM4.5 bilion.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata dibangunkan KDEB Waste Management Sdn Bhd, ia mampu membakar 2,400 tan sampah sehari dan menjana 130.5 megawatt tenaga elektrik.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619