AGENDA

Empat sekawan nyaris lemas, generator meletup punca bot dinaiki karam

28 Feb 2024, 3:00 PM
Empat sekawan nyaris lemas, generator meletup punca bot dinaiki karam

GEORGE TOWN, 28 FEB: Empat lelaki tempatan nyaris lemas selepas bot dinaiki mereka karam dalam kejadian di persisiran laut berhampiran Persiaran Karpal Singh, di sini hari ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Fadzil Mohamad berkata kesemua mangsa berusia 50-an itu diselamatkan nelayan yang berada di lokasi dengan dua daripadanya mengalami kecederaan.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 2.40 petang.

"Sebaik tiba, bomba mendapati terdapat sebuah bot karam di persisiran laut dan tindakan kami di lokasi membantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat pemantauan menyeluruh ke atas bot berkenaan. Pemeriksaan awal mendapati tiada mangsa yang terlibat.

"Tindakan selanjutnya, pihak bomba bergerak ke Jabatan Laut Wilayah Utara bagi mendapatkan maklumat terperinci status pemilikan bot dan setelah semakan dilakukan didapati pemilik bot tersebut ialah milik seorang lelaki dikenali sebagai Rusdi Sulung," katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan kesemua mereka dalam perjalanan ke Langkawi, Kedah dan singgah di perairan Pulau Pinang.

Fadzil berkata berdasarkan maklumal awal, bot berkenaan karam akibat generator di dalam bot meletup dan empat mangsa yang berada dalam bot berkenaan telah diselamatkan oleh nelayan.

Beliau berkata dua daripada empat mangsa cedera dan menerima rawatan di klinik berhampiran manakala dua lagi mangsa tidak mengalami kecederaan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619