AGENDA

Datuk sempat selamatkan cucu, remaja 13 tahun dihanyut arus sungai

26 Feb 2024, 3:00 PM
Datuk sempat selamatkan cucu, remaja 13 tahun dihanyut arus sungai

KOTA KINABALU, 26 FEB: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun sempat diselamatkan oleh datuknya manakala seorang lagi rakannya dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di sungai berdekatan Kampung Panagatan dekat Keningau petang tadi.

Jainis Gampanga, 74, berjaya menyelamatkan Jackson Mark manakala Aloysius Alfred, 13, hanyut dibawa arus sungai yang kuat.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada 5.50 petang sebelum sekumpulan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Keningau dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 16 kilometer.

Kenyataan itu menyebut terdapat tiga lagi kanak-kanak, yang juga rakan kedua-dua mangsa, mandi di sungai tersebut.

"Mangsa lemas ada dua orang tetapi seorang kanak-kanak diselamatkan oleh datuknya sendiri dan seorang tidak dapat diselamatkan oleh kerana arus yang kuat," menurut kenyataan itu.

Aloysius belum dijumpai dan pasukan bomba masih berada di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat seterusnya untuk menjalankan operasi mencari serta menyelamat di kawasan mangsa dilaporkan hilang.

Menurut kenyataan itu, bomba akan mengemas kini maklumat berhubung insiden itu dari semasa ke semasa.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619