AGENDA

Cubaan seludup syabu lebih 200 kilogram guna syarikat penghantar barang gagal

23 Feb 2024, 11:21 AM
Cubaan seludup syabu lebih 200 kilogram guna syarikat penghantar barang gagal

KOTA KINABALU, 23 FEB: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis syabu seberat 205 kilogram bernilai RM6.85 juta menggunakan perkhidmatan kurier, pada 15 Februari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata hasil risikan dan penyaluran maklumat Pasukan Tempur Operasi Medan JKDM (Cobra), anggota JKDM membuat serbuan ke atas sebuah premis syarikat kurier di Penampang pada jam 9.10 pagi hari tersebut.

Beliau berkata pasukan serbuan itu, dianggotai Cawangan Penguatkuasaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Cobra, telah menemukan 15 kotak disyaki mengandungi dadah dan pemeriksaan lanjut menggunakan alat pengesan dadah mendapati ia dadah jenis Methamphetamine.

“Dadah yang ditemukan telah dibungkus menggunakan pembungkus plastik teh cina sebanyak empat jenis agar dadah berbahaya yang dibungkus ini tidak dikesan oleh pihak penguatkuasaan, namun kita telah berjaya mengesan dadah ini.

“Tiada tangkapan dibuat setakat ini, namun usaha untuk mengesan pengirim dan penerima sedang dilakukan, kes ini dalam siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang terbabit,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan JKDM Zon Sabah di Sepanggar, di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi kes ini adalah menghantar kotak mengandungi dadah itu ke alamat syarikat kurier berkenaan sebelum pelaku cuba mengambil bungkusan itu di syarikat tersebut dan bungkusan itu tidak dialamatkan ke alamat rumah atau premis lain.

Mohd Nasir berkata siasatan setakat ini juga mendapati bungkusan itu telah dihantar menggunakan penerbangan kargo udara dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

Katanya, siasatan sedang dilakukan untuk mengetahui sama ada kes ini melibatkan rangkaian sindiket dan modus operandi pengedaran dadah ini untuk Sabah atau negeri ini digunakan sebagai pusat transit sebelum dihantar ke tempat lain termasuk luar negara.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu atau kegiatan penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619