AGENDA

Tujuh lagi pendatang tanpa izin lolos depot imigresen ditahan

7 Feb 2024, 11:26 AM
Tujuh lagi pendatang tanpa izin lolos depot imigresen ditahan

TAPAH, 7 FEB: Seramai tujuh lagi pendatang tanpa izin yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor berjaya ditahan dalam kebun FELCRA Jalan Kachu di sini petang ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kesemua tangkapan itu dibuat oleh Pasukan Khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah bersama Pasukan Gerakan Am Briged Utara pada kira-kira 3 petang.

"Tangkapan terbaru itu menjadikan seramai 98 pendatang tanpa izin yang lolos telah ditangkap semula setakat ini manakala 31 lagi masih bebas," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi ketika ditemui media berkata tujuh tahanan diberkas setelah dikejar 20 anggota sejauh kira-kira 500 meter selepas menerima maklumat mengenai lokasi kumpulan itu berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan.

Beliau berkata baki tahanan lain dipercayai masih berada di kawasan berdekatan seperti hentian rehat untuk mereka mendapatkan makanan kerana tidak mempunyai sebarang bekalan barangan keperluan asas.

"Kami mengalami kesukaran terutamanya atas faktor geografi yang kawasan pencarian adalah berbukit bukau dan keadaan tanah yang hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda sepanjang operasi selain cuaca tidak menentu.

"Jadi kami memerlukan kerjasama dan maklumat orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat," katanya.

Dalam kejadian pada 9.50 malam Khamis lepas, seramai 131 tahanan terdiri daripada etnik Rohingya serta warga Myanmar dan Bangladesh, meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, dengan semua tahanan itu merusuh selain merosakkan pagar depot sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, dua daripada tahanan yang lolos itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619