AGENDA

Tertipu iklan pelaburan di Telegram, penghantar makanan rugi RM82,000

27 Jan 2024, 3:15 PM
Tertipu iklan pelaburan di Telegram, penghantar makanan rugi RM82,000

MELAKA, 27 JAN: Seorang penghantar makanan terpaksa berputih mata apabila kerugian RM82,000 selepas ditipu skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata pemuda berusia 25 tahun itu tertarik dengan skim pelaburan tersebut selepas melihat iklan menerusi kumpulan Telegram Sahabat Invest Master Bina yang kononnya membuat pelaburan pertukaran mata wang asing pada 19 Jan lepas.

“Scammer menjanjikan hasil pelaburan yang tinggi iaitu melabur RM300 akan mendapat keuntungan RM5,000 dengan hasil pelaburan juga bergantung (kepada) berapa modal yang dibayar, serta hasil keuntungan pelaburan akan dibahagikan di antara pelabur dengan pihak syarikat iaitu pelabur 60 peratus dan syarikat 40 peratus.

“Pelabur juga dijanjikan akan mendapat keuntungan dalam masa tiga hingga enam jam,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tertarik dengan pulangan diberikan, Ahmad Jamil berkata mangsa kemudiannya melabur sebanyak RM20,000 pada kali pertama diikuti sembilan lagi transaksi ke dalam enam pemilik akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM82,000 hasil simpanan sendiri dan bapanya.

Beliau berkata bagi mendapatkan wang hasil pelaburan tersebut, mangsa diminta melakukan transaksi namun penghantar makanan tersebut membuat laporan polis pada 8 malam semalam selepas berasa diperdayakan.

Justeru, Ahmad Jamil menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan mana-mana iklan pelaburan tidak sah dan mereka boleh membuat semakan menerusi laman sesawang ccid.rmp.gov.my/semakmule.

“Masyarakat juga boleh membuat semakan menerusi aplikasi WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111222, Facebook Rasmi JSJK, talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (997) dan aplikasi Whoscall dan Truecall yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619