AGENDA

Tiga jurukimpal warga asing ditahan guna MyKad palsu

18 Jan 2024, 12:46 PM
Tiga jurukimpal warga asing ditahan guna MyKad palsu

KLANG, 18 JAN: Tiga lelaki ditahan dalam satu operasi di beberapa lokasi sekitar Pulau Indah, Pelabuhan Klang awal pagi tadi kerana disyaki bekerja dengan menggunakan kad pengenalan palsu.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan memaklumkan operasi itu bertujuan mengesan warga asing yang memalsukan dan menyalahgunakan kad pengenalan.

Operasi hingga 5 pagi tadi yang melibatkan Jabatan Imigresen (JIM) Putrajaya dan turut disertai pihak media, memeriksa 12 rumah di tujuh lokasi.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke JPN Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta memegang kad Persatuan Bajau,” menurut kenyataan itu.

JPN memaklumkan ketiga-tiganya bekerja sebagai jurukimpal dengan seorang daripadanya dipercayai warga Filipina manakala dua lagi mengaku berasal dari Sabah.

“Operasi melibatkan 60 anggota JPN dan 23 anggota JIM Putrajaya itu juga menemukan sejumlah salinan kad pengenalan dan kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),” menurut JPN.

Sehubungan itu, JPN mengingatkan pihak majikan untuk memastikan mengambil pekerja yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619