AGENDA

Mangsa banjir tiga negeri kekal 278 orang takat malam ini

16 Jan 2024, 1:40 PM
Mangsa banjir tiga negeri kekal 278 orang takat malam ini

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri terjejas banjir kekal 278 orang, setakat 8 malam ini.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), mangsa termasuk 99 orang daripada 42 keluarga yang berlindung di dua PPS di Daerah Beluran, Sabah.

Di Pahang pula, 101 orang daripada 34 keluarga masih ditempatkan di sebuah PPS di Rompin, manakala di Johor, 78 orang daripada 20 keluarga berada di tiga PPS iaitu di Segamat (63 orang) dan Batu Pahat (15 orang).

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa lokaliti sungai di Johor, dan Perlis berada pada paras bahaya malam ini.

Di Johor, sungai berkenaan ialah Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Muar di Segamat manakala di Perlis membabitkan Sungai Arau.

Selain itu, terdapat 17 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Sungai Tiang di Baling, Kedah dan Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor.

Nadma turut memaklumkan jumlah mangsa kebakaran yang masih berlindung di sebuah PPS di Kuching, Sarawak kekal 38 orang daripada 12 keluarga.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619