AGENDA

Jakoa pantau, selesai segera masalah Orang Asli ketika bah

10 Jan 2024, 1:16 PM
Jakoa pantau, selesai segera masalah Orang Asli ketika bah

KLUANG, 10 JAN: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan memastikan setiap masalah yang dihadapi mangsa banjir melibatkan masyarakat Orang Asli di seluruh negara, akan diselesaikan segera.

Ketua Pengarah Jakoa Datuk Sapiah Mohd Nor berkata masalah berkenaan, tidak hanya tertumpu kepada bekalan makanan dan juga keperluan harian sahaja, tetapi ia meliputi segala aspek.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa memantau kawasan perkampungan Orang Asli, khususnya dengan pegawai dan kakitangan jabatan tersebut dan akan cuba menyelesaikan masalah yang timbul secepat mungkin.

“Ini berikutan susulan terdapatnya masalah terhadap mesin janakuasa di Kampung Orang Asli Pucur, Kahang di Kluang ini, di mana mangsa banjir terpaksa bergelap dan perlu menggunakan lilin untuk beberapa hari.

“Usaha membaiki bahagian dan menghantar alat ganti pada janakuasa itu tertangguh, akibat terputusnya jalan darat, namun kita akan usahakannya seberapa segera,” katanya selepas misi menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Kampung Orang Asli Pucur dan Kampung Orang Asli Sedohok, di sini, hari ini.

Seramai 106 penduduk Kampung Orang Asli Pucur dan 177 penduduk Orang Asli Sedohok hari ini menerima bantuan bekalan makanan seperti beras, air mineral dan makanan dalam tin, yang dijangka mencukupi untuk kegunaan selama dua minggu.

Sapiah berkata bantuan secara berterusan kepada mangsa banjir ini, akan disalurkan sehingga kawasan berkenaan tidak lagi banjir dan keadaan air benar-benar surut, serta tidak berisiko kepada penduduk untuk keluar mencari rezeki.

“Bantuan bekalan makanan melalui serahan ‘Bakul Makanan’ seliaan JAKOA ini, tidak tertumpu kepada bencana banjir semata-mata, namun turut merangkumi bencana lain seperti kejadian tanah runtuh dan serangan binatang buas,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Pucur Semanggar Ahmad berkata akibat kerosakan pada janakuasa terbabit, sebanyak 27 keluarga di kampung itu bergelap selama seminggu.

“Selain menggunakan lilin, ada juga yang menggunakan mesin janakuasa kecil untuk digunakan pada waktu malam, namun perlu berjimat kerana bekalan petrol hanya boleh didapati di pekan Kahang dan perlu keluar dengan menggunakan bot,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619