AGENDA

Reman tiga individu dipercayai subahat culik kanak-kanak disambung hingga 27 Disember

24 Dis 2023, 5:38 AM
Reman tiga individu dipercayai subahat culik kanak-kanak disambung hingga 27 Disember

JOHOR BAHRU, 24 DIS: Tempoh reman tiga individu termasuk dua remaja yang ditahan kerana dipercayai bersubahat menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, disambung tiga hari lagi hingga 27 Disember ini.

Perintah reman yang berkuat kuasa esok itu dikeluarkan oleh Majistret R Salini.

Terdahulu, ketiga-tiga lelaki berkenaan yang memakai baju lokap berwarna jingga, tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada 8.30 pagi.

Sebelum ini, dua remaja berusia 15 dan 17 tahun serta seorang lelaki berusia 18 tahun itu direman empat hari bermula 21 Disember yang berakhir hari ini, bagi membolehkan siasatan terhadap mereka mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan culik.

Ketiga-tiganya ditahan di Pontian pada 20 Disember, selepas dipercayai bersubahat menculik kanak-kanak terbabit di bandar raya ini pada 12 Disember lalu.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dipetik sebagai berkata seorang lelaki warga China berstatus penduduk tetap di Singapura cedera parah ketika menyelamatkan anak lelakinya daripada diculik sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta pada 12 Disember, di sini.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu selamat.

Raub berkata seorang lelaki berusia 41 yang dipercayai rakan kongsi kepada warga China itu dan merupakan suspek utama, berjaya ditahan di hadapan Balai Polis Taman Pelangi, di sini pada 8 malam hari sama.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619