AGENDA

Orang ramai diingatkan tidak sebar gambar, kongsi kandungan pelajar maut dilanggar

18 Dis 2023, 3:00 PM
Orang ramai diingatkan tidak sebar gambar, kongsi kandungan pelajar maut dilanggar

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai bahawa sebarang perkongsian gambar atau kandungan yang berkaitan kes kemalangan membabitkan seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di Meru, Ipoh Jumaat lalu, boleh dikenakan tindakan.

MCMC dalam kenyataan malam ini memaklumkan tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan menekankan tentang kepentingan untuk menghormati mangsa dan keluarga, serta pada masa sama menunjukkan empati yang tinggi.

“Jika telah memuat naik atau berkongsi gambar atau video kejadiaan berkenaan, orang ramai dinasihatkan menurunkan hantaran atau memadam kandungan berkenaan. Selain itu, semua pihak turut dinasihati tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan pihak berkuasa,” menurut MCMC dalam kenyataan itu.

Menurut MCMC perkongsian gambar atau rakaman video mangsa tidak hanya akan melukakan perasaan keluarga mangsa, tetapi juga melanggar prinsip dan etika asas dan setiap individu harus membuat pertimbangan sewajarnya untuk tidak menyebarkan gambar atau kandungan berkaitan tragedi berkenaan.

“MCMC menghulurkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi yang membabitkan seorang pelajar sekolah di Meru, Ipoh.” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian pada 15 Disember lalu, seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh dipandu pegawai kanan polis berusia 44 tahun.

Pegawai itu didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619