AGENDA

Menteri: Nilai, audit syarikat penerbangan sebelum beri lesen

7 Dis 2023, 4:42 AM
Menteri: Nilai, audit syarikat penerbangan sebelum beri lesen

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Syarikat penerbangan baharu dan sedia ada perlu dinilai dan diaudit oleh pelbagai peringkat di dalam Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebelum diberikan ataupun diperbaharui Lesen Perkhidmatan Udara (ASL), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata antara aspek utama yang perlu dilihat ialah kemampuan kewangan syarikat terbabit.

“Kemampuan dari segi operasi tiga hingga enam bulan itu dilihat - kalau cash flow mereka tidak cukup kuat, kemungkinan lesen itu tidak dapat diperbaharui ataupun hanya satu tempoh yang pendek sahaja akan diberikan,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dari Senator Datuk Kesavadas A. Achyuthan Nair mengenai aspek yang akan diaudit bagi memastikan syarikat penerbangan mematuhi syarat pelesenan sebelum dan selepas memulakan operasi mereka.

Katanya perkara ini akan memberikan perlindungan kepada penumpang yang telah membeli tiket penerbangan, dan apa yang berlaku terhadap syarikat MYAirline sebelum ini tidak berlaku lagi di masa akan datang.

Terdahulu Loke berkata pihak Mavcom tidak mensyaratkan keperluan bagi syarikat penerbangan baharu ataupun sedia ada yang telah mendapat Lesen ASL untuk meletakkan deposit dengan Mavcom.

“Syarat berkenaan tidak diamalkan dalam industri penerbangan atau oleh pihak berkuasa penerbangan mana-mana negara lain,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri S.Vell Paari.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619