EXCO

Kapal Korek Sri Banting seberat 5,000 tan dibaik pulih, jadi ikon tinggalan sejarah

4 Dis 2023, 12:00 PM
Kapal Korek Sri Banting seberat 5,000 tan dibaik pulih, jadi ikon tinggalan sejarah
Kapal Korek Sri Banting seberat 5,000 tan dibaik pulih, jadi ikon tinggalan sejarah

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Kapal Korek Sri Banting di Pekan Dengkil yang berhenti operasi pada 2001 susulan kejatuhan harga timah akan dibaik pulih untuk dijadikan ikon peninggalan sejarah

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata kerja kimpalan dan pembaikan kapal korek seberat 5,000 tan dijangka memakan masa dua tahun.

“Kapal korek itu dibeli Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang)  tetapi ada kebocoran. Tender dikeluarkan untuk melantik kontraktor yang pakar mengapungkan semula kapal terbabit yang kini berada dalam tasik.

“Kerja baik pulih bukan sesuatu yang mudah dan mereka perlu surutkan air (tasik) dengan membina satu empangan. Proses akan jadi rumit jika tanpa kepakaran.

“Saya jangkakan dua tahun siap (pembaikan) dan akan bermula selepas kontraktor dilantik. Tiga syarikat sudah masuk tender, tetapi kita buka lagi tawaran kepada orang yang lebih berpengalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Pengkisahan Sejarah Kapal Korek di Malaysia ‘Menghidupkan Kembali Sejarah Revolusi Industri Selangor’ di Arkib Negara Malaysia di sini hari ini.

[caption id="attachment_617005" align="aligncenter" width="751"] EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah memberi penerangan kepada Pengarah Arkib Negara Dato’ Jaafar Sidek Abdul Rahman berkenaan Taman Warisan Lombong Bijih Timah Negara yang bakal dibangunkan di Sri Banting, Dengkil pada majlis Pengkisahan Sejarah Kapal Korek di Malaysia ‘Menghidupkan Kembali Sejarah Revolusi Industri Selangor’ di Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 4 Disember 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI[/caption]

Sementara itu, Yang Dipertua MPSepang berkata kapal korek berusia 49 tahun akan dijadikan ‘Muzium Hidup’ (living museum) dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR) seperti hologram serta sistem audio canggih.

Jelas beliau pengunjung akan merasai pengalaman berada atas kapal korek masih beroperasi selain dibangunkan sebuah muzium yang akan menyimpan khazanah, dokumen, perkakas kerja dan komponen kapal untuk tatapan pengunjung.

“Dengan tanggungjawab ini, kita akan berusaha keras mempertahankan satu-satunya kapal korek yang menjadi ikon sejarah kemajuan industri perlombongan bijih timah di Selangor pada masa lalu.

“Usaha ini supaya ia tidak ditelan arus deras pembangunan moden dan kekal di dalam lipatan sejarah,” kata Dato’ Abd Hamid Husain.

Kapal Korek Sri Banting satu-satunya kapal korek yang masih wujud di Selangor selain Kapal Korek Tanjung Tualang 5, Batu Gajah, Perak.

Tinggalan struktur kapal korek terbabit antara kapal korek yang terbesar dan termoden di Asia Tenggara.

Berukuran 86 meter panjang dan 22 meter hingga 29.3 meter lebar, ia mampu bergerak menggunakan elektrik 110 ‘bucket’ yang boleh menggerudi sedalam 30 meter ke dalam tanah.

Kapal korek itu juga menjadi simbol revolusi, kemegahan dan kemajuan Industri perlombongan bijih timah di Selangor suatu masa dahulu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619