AGENSI

Skuad jejak kemiskinan Zakat Selangor beri sinar, ringan beban asnaf

25 Nov 2023, 8:59 AM
Skuad jejak kemiskinan Zakat Selangor beri sinar, ringan beban asnaf

SHAH ALAM, 25 NOV: Bantuan dihulur Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) diterima dengan penuh kesyukuran oleh Noor Fadhzly Jaasiman Jaafar, 44, yang menderita sakit kegagalan buah pinggang.

Pembaca meter di Air Selangor itu berkata bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban dalam menanggung isteri serta empat anak, lebih-lebih lagi dengan keadaannya kini yang mudah penat dan pergerakan sedikit terbatas selepas didiagnosis penyakit itu tiga tahun lepas.

"Kalau ikut kudrat memang saya tidak larat (untuk bekerja), tapi mengenangkan tanggungjawab pada anak-anak, hutang dan keperluan yang perlu dibayar saya kerja juga walaupun tidak tahu sampai bila. Kini saya juga menghidap darah merah rendah.

"Ketika sihat dulu, selepas kerja membaca meter saya akan sambung buat 'Grab', apabila dah jadi begini pendapatan memang terganggu. Alhamdulillah, isteri banyak membantu dengan berniaga kek secara kecil-kecilan bagi menanggung belanja dapur," katanya yang menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Noor Fadhzly berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya semasa program SJK bersama Komuniti LZS di Bukit Lanchong, di sini hari ini.

Suri rumah, Norhalizalizwana Wahab, 39, pula berkata dia berasa lega dengan bantuan yang akan diterima kerana dapat meringankan beban suaminya yang bekerja sebagai mekanik.

"Suami kerja sendiri, jika ada orang panggil untuk baiki kereta adalah gaji, jika tiada memang pendapatan kurang sikit. Keadaan kami tidaklah hingga meminjam (duit) daripada orang lain, tetapi apa yang ada itulah yang kami makan.

"Terima kasih LZS yang sudi beri perhatian kepada keluarga kami," kata ibu dua anak itu yang kini berusaha berniaga secara kecil-kecilan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata pihaknya akan terus proaktif mengesan individu dan keluarga yang layak didaftarkan sebagai golongan asnaf di negeri itu menerusi program SJK.

Program turun padang itu, katanya berjaya mengenal pasti golongan asnaf menerusi kaedah bancian bagi menentukan jenis bantuan yang layak mereka peroleh.

"Program SJK ini diadakan dengan kerjasama Penolong Amil Kariah LZS yang membantu menyalurkan maklumat individu atau keluarga yang masih belum disantuni.

“Melalui proses ini kita akan tahu ke mana agihan ini disalurkan dan bagaimana kaedahnya. Justeru, kami menyeru semua pengeluar zakat yang belum berzakat agar berbuat demikian," katanya.

Setakat Oktober lepas, lebih 10,000 keluarga di Selangor telah didaftarkan sebagai asnaf baharu dan daripada jumlah itu lebih 3,000 keluarga dikenal pasti melalui SJK yang diadakan di setiap daerah di negeri itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619