AGENDA

Warga emas ditahan cabul dua kanak-kanak perempuan di PPS

23 Nov 2023, 10:45 AM
Warga emas ditahan cabul dua kanak-kanak perempuan di PPS

KUALA TERENGGANU, 23 NOV: Polis menahan seorang lelaki warga emas kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kuala Nerus, semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata suspek berusia 61 tahun yang juga mangsa banjir di PPS sama ditahan susulan dua laporan polis dibuat oleh keluarga dua kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata menurut laporan polis, ibu mangsa memaklumkan, kelmarin suspek telah memujuk dua kanak-kanak berkenaan untuk ke suatu tempat di PPS berkenaan dengan alasan untuk mengajar sebelum dipercayai melakukan perbuatan itu.

“Mangsa tinggal bersama keluarga masing-masing di PPS bekenaan manakala suspek bersama anak dan menantu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Susulan kejadian itu, Mazli berkata pihaknya akan meningkatkan rondaan keselamatan bagi mencegah kejadian sama berulang.

Dalam masa sama beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka dan mengawasi pergerakan anak-anak sepanjang berada di PPS.

"Di setiap PPS memang kita ada tempatkan dua anggota polis dan dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk memantau keselamatan penghuni.

"Bagaimanapun kita tidak boleh terlalu kerap memantau pergerakan di dalam PPS kerana akan mengganggu privasi penghuni," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619