AGENDA

Angelina Jolie kutuk kekejaman Israel bom kem pelarian hingga ratusan mati

2 Nov 2023, 10:21 AM
Angelina Jolie kutuk kekejaman Israel bom kem pelarian hingga ratusan mati

RAMALLAH, 2 NOV: Pelakon terkenal Amerika Syarikat yang juga bekas wakil khas Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Angelina Jolie mengecam tindakan Israel yang menyerang kem pelarian Jabalia di Gaza dua hari lalu, hingga mengorbankan ratusan penduduk Palestin.

Bintang Hollywood berusia 48 tahun itu menyiarkan mesej menerusi hantaran di Instagram, beserta foto yang memaparkan kediaman penduduk di Jabalia yang “lenyap” sepenuhnya dibedil pesawat pejuang Israel, sambil berkata:

“Ini adalah pengeboman disengajakan terhadap penduduk yang terperangkap, yang tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri. Gaza telah menjadi penjara terbuka selama hampir dua dekad dan kini tempat pengebumian beramai-ramai".

"40 peratus daripada mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak yang tidak bersalah. Seluruh anggota keluarga dibunuh. Ketika dunia sedang memerhati dan dengan sokongan aktif pelbagai kerajaan, berjuta-juta rakyat Palestin - kanak-kanak, wanita, keluarga – tidak dibela dan dihina, sebaliknya dihukum dengan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa," lapor agensi berita Palestin (WAFA) memetik kenyataan Jolie.

Pemimpin dunia juga terlibat dalam jenayah ini kerana enggan menuntut gencatan senjata kemanusiaan dan menyekat Majlis Keselamatan PBB, katanya.

Hampir 9,000 orang terbunuh manakala lebih 22,000 lagi cedera dalam pengeboman Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt.

-- BERNAMA-WAFA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619